Thursday, April 4, 2019

Perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris: Manchester City atau Liverpool?

Manchester City vs Liverpool, siapa bakal bergelar juara? Mari lihat setiap perlawanan yang bakal dihadapi oleh kedua-dua kelab.

Kemenangan 2-0 ke atas Cardiff semalam meletakkan Manchester City kembali di depan Liverpool dengan perbezaan hanya satu mata. Dengan kedua-dua pasukan berbaki enam perlawanan, ini ternyata menghangatkan perlumbaan dua gergasi England itu bagi menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris di penghujung musim ini. 

Kevin De Bruyne (dalam gambar) membuka jaringan buat City menentang Cardiff semalam

Liverpool berpeluang memintas City pada awal pagi Sabtu ini apabila mereka berkunjung ke Southampton sementara City akan beralih tumpuan ke Piala FA menentang Brighton. Namun City akan kembali di depan sekiranya mereka mampu menang semua baki perlawanan di dalam tangan termasuk ujian sukar di Old Trafford menentang musuh setempat Manchester United.

Kedudukan semasa Liga Perdana Inggeris pada minggu ke-32

Berdasarkan kedudukan terkini Liga Perdana Inggeris, kedua-kedua pasukan dibezakan hanya satu mata dan sebarang kesilapan atau keguguran mata akan menyaksikan peluang mereka untuk merangkul gelaran bakal terkubur. Ayuh kita lihat senarai dan analisa perlawanan yang bakal dilalui kedua-dua pasukan.


MANCHESTER CITY

Crystal Palace Vs Man City (A) - Ahad, 14/4 (9 pm)

Palace sememangnya terkenal dengan gaya permainan yang keras dan pantas. Mempunyai pemain-pemain yang mampu merencanakan taktik ini dengan baik, sudah pasti akan menjadi lawan sukar dan igauan buruk buat pasukan atasan liga yang lebih gemar mengamalkan corak hantaran dan penguasaan bola. Pemain seperti Wilfried Zaha, Andros Townsend dan Michy Batshuayi pasti akan mendatangkan banyak masalah kepada pertahanan City seperti aksi di Etihad disember lalu.

Terselit antara perlawanan menentang Tottenham Hostpur dalam Liga Juara-Juara mungkin akan menambahkan lagi derita City namun, City di bawah asuhan Pep Guardiola dicanang antara pasukan terbaik yang pernah disaksikan sepanjang pertandingan Liga Perdana Inggeris dengan skuad yang besar. Perlawanan seperti ini mungkin sukar dan memaksa penggiliran pemain tetapi kemenangan tetap dijangkakan dari gergasi biru Manchester ini. 


Man City Vs Tottenham Hotspur (H) - Sabtu, 20/4 (7.30 pm)

Satu lagi perlawanan yang sukar untuk City yang menyaksikan mereka bertemu Tottenham buat kali ketiga dalam masa 10 hari selepas tamat pusingan suku akhir Liga Juara-Juara menentang lawan yang sama. Spurs mengalami penurunan prestasi yang menyaksikan mereka terkeluar dari perlumbaan liga dan terpaksa menyelamatkan maruah mereka berjuang untuk kedudukan empat teratas. 

Namun begitu, Tottenham mempunyai ramai pemain hebat seperti Kane, Son, Alli dan Moura yang mampu menghukum lawan pada bila-bila masa. Tetapi aksi di laman sendiri sedikit sebanyak memberi kelebihan buat City dan mereka harus menggunakan peluang itu sebaik mungkin kekal dalam perebutan juara.


Man United Vs Man City (A) - Khamis, 25/4 (3 am)

City akan lengkapkan 15 hari yang padat dan sukar apabila berkunjung ke Old Trafford menentang Man United yang mungkin masih bergelut untuk menamatkan liga dalam kedudukan empat teratas.  Aksi yang boleh dianggap penentu kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini. Meskipun tidak mampu bergelar juara, United masih lagi mampu memainkan peranan penting dalam perebutan kejuaraan liga musim ini dan ianya mungkin bergantung kepada keputusan perlawanan ini.  

Bagi peminat United, mereka mungkin terpaksa menanggung kekecewaan apabila melihat dua pasukan yang paling dibenci oleh mereka meraih kejuaraan liga. Namun, jika diberi pilihan antara kedua pasukan tersebut bergelar juara, rata-ratanya mungkin akan memilih Manchester City. Ia bukanlah pilihan yang mudah kerana United sendiri ketika ini sangat memerlukan kemenangan untuk memastikan impian terus beraksi di Liga Juara-Juara musim depan terjamin. Perlawanan yang penuh dengan aksi dan drama dijangka dari kedua-dua pasukan. Jika City mampu melepasi halangan sukar ini tanpa terjejas, peluang mereka mempertahankan liga sangat cerah.

City tewaskan United 3-1 di Etihad November lalu


Burnley Vs Man City (A) - Ahad, 28/4 (9 pm)

Burnley berada di atas zon penyingkiran dengan kelebihan 5 mata ke atas Cardiff City. Namun, jika mereka tewas kepada Cardiff selepas ini, perkara akan semakin sukar. Pasukan yang bergelut di zon penyingkiran selalunya menghadirkan bahaya yang tidak diundang dan itu perlu diambil kira dalam penentuan kejuaraan liga.

Bagaimanapun, di atas kertas perlawanan ini seolah-olah berat sebelah berikutan pertemuan City dan Burnley sebelum ini. Dalam dua perlawanan sebelum di liga dan juga piala FA, City menang besar dengan jumlah jaringan yang sama, lima gol tanpa bolos. Sekaligus membuatkan perlawanan tidak terlihat hasil yang lain selain dari kemenangan City.


Man City Vs Leicester (H) - Sabtu, 4/5 (10 pm)

Perlawanan liga terakhir City di Etihad bagi musim 2018/19. Ketika ini, mungkin kita sudah mengetahui sama ada pengejaran City untuk meraih 5 piala musim ini akan berterusan atau berakhir. Jika City berjaya jinakkan Brighton di semi final piala FA dan juga Tottenham di suku akhir Liga Juara-Juara, mereka akan mempunyai tambahan perlawanan untuk baki musim ini. Kejayaan layak ke peringkat seterusnya dalam dua pertandingan itu mungkin sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan perlawanan liga meskipun City mempunyai ramai pemain berkelas dunia di setiap posisi. 

Jamie Vardy dan bekas pemain berbakat City Kelechi Iheanacho antara sandaran Leicester untuk merobek gawang Man City. Leicester berjaya tewaskan Man City bulan disember lalu sekaligus memberi laluan kepada Liverpool berada di puncak liga. Sementara itu, Pengurus Leicester, Brendan Rodgers sudah pasti mahu memadamkan episod hitam beliau ketika terlepas peluang menjulang Liga Perdana Inggeris bersama Liverpool pada musim 2013/14 dengan membantu mereka menewaskan City musim ini.


Brighton Vs Man City (A) - Ahad, 12/5 (10 pm)

Aksi penutup liga akan berlangsung serentak pada 12 Mei 2019 dan jika dilihat kedudukan semasa, kemungkinan juara Liga Perdana Inggeris akan ditentukan pada hari terakhir liga. Bagi City, mereka akan bertandang ke Brighton untuk melengkapkan jadual 38 perlawanan semusim selain mengetahui status mereka sebagai juara liga ataupun tidak.

Brighton adalah halangan terakhir City untuk mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi pada musim lalu. Kali terakhir sebuah pasukan berjaya mempertahankan kejuaraan liga adalah pada 10 tahun lalu ketika United melakukannya sewaktu masih di bawah bimbingan Sir Alex Ferguson. 



LIVERPOOL

Liverpool berjaya tumpaskan Tottenham 2-1 di Anfield hasil gol sendiri Toby Alderweireld

Southampton Vs Liverpool (A) - Sabtu, 6/4 (3 am)

Liverpool akan bertandang ke St Mary's Stadium bagi terus menghidupkan semangat mereka untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang kali terakhir dimenangi pada tahun 1990. Ketika itu masih dikenali sebagai Liga Bola Sepak Division 1. Skuad Liverpool sekarang ini berada di landasan terbaik untuk menamatkan kemarau 29 tahun tersebut apabila hanya satu mata di belakang Man City tetapi akan berputih mata jika City terus memenangi baki perlawanan mereka.

Southampton sedang berada dalam prestasi terbaik mereka selepas menang 3 dari 4 perlawanan terakhir termasuk kemenangan ke atas Tottenham awal Mac lalu. Liverpool juga berada di prestasi terbaik dan rekod mereka ketika menentang Southampton di bawah Jurgen Klopp amat memberangsangkan. Ini bakal menjadi perlawanan yang seimbang tetapi dengan pemain yang lebih dominan, kelebihan memihak kepada Liverpool.


Liverpool Vs Chelsea (H) - Ahad, 14/4 (11.30 pm)

Perlawanan Liverpool menentang Chelsea hadir antara babak suku akhir Liverpool dengan Porto dalam Liga Juara-Juara. Aksi awal musim bertemu Chelsea di Stamford Bridge berkesudahan 1-1 yang memberi keyakinan kepada mereka selaku pencabar liga. Pasti menarik untuk milihat bagaimana Jurgen Klopp mahu menurunkan skuad pilihannya bagi memastikan Liverpool terus bersaing dalam kedua-dua kejohanan. Namun, para peminat Liverpool sudah pastinya ingin melihat pasukan kesayangan mereka menjulang Liga Perdana inggeris berbanding Liga Juara-Juara yang telah lama diidamkan.

Chelsea pernah meleburkan impian Liverpool pada musim 2013/14, "The Famous Gerrard Slip", menewaskan mereka 0-2 di Anfield sekaligus memadamkan kelebihan mereka ke atas City. Adakah senario yang sama bakal berulang lagi musim ini? Liverpool kelihatan lebih bersedia kali ini dengan pemain-pemain yang lebih ampuh di setiap posisi dengan rekod pertahanan terbaik liga setelah 32 perlawanan. Bagaimanapun, mereka harus berwaspada dengan ancaman Eden Hazard selaku pemain terbaik Chelsea. Jika Chelsea pulang membawa 3 mata penuh, Liverpool boleh melupakan gelaran liga untuk musim ini.

Virgil Van Dijk nadi utama keampuhan benteng Liverpool


Cardiff City Vs Liverpool (A) - Ahad, 21/4 (11 pm)

Kunjungan Liverpool ke Cardiff bukanlah antara perlawanan yang menjadi tumpuan penggemar bola sepak, tetapi bagi peminat Liverpool perlawanan ini juga sangat penting. Sebarang keguguran mata hanya akan memberi keselesaan kepada City bahkan mungkin menamatkan cabaran kelab mereka. 

Cardiff masih mampu keluar dari zon penyingkiran jika mereka terus berjaya mengutip mata demi mata. Hal ini menjadi sebab mengapa Liverpool harus berhati-hati. Tiada lawan yang mudah dalam Liga Perdana Inggeris dan pertemuan menentang lawan yang terdesak menjadikan permainan sangat sukar untuk kelab besar sekalipun.


Liverpool Vs Huddersfield (H) - Sabtu, 27/4 (3 am)

Ketika Liverpool melayan kunjungan Huddersfield ke Anfield, mereka berkemungkinan sudah melakukan persiapan untuk beraksi di Liga Championship pada musim depan. Anak buah Jurgen Klopp perlu meredakan tekanan untuk beraksi dengan lebih baik. Pertemuan dengan Huddersfield merupakan lawan yang sesuai untuk redakan tekanan diri dan penyokong. 

Namun, itu bukannya lampu hijau buat pemain Liverpool untuk beraksi secara sambil lewa dan longlai sebaliknya santai dengan aksi tanpa tekanan. Mereka perlu ingat bahawa Huddersfield juga tidak berada dalam tekanan kerana sudah tersingkir liga tetapi sudah pasti mereka ingin membawa kenangan menewaskan pasukan gergasi bersama mereka.


Newcastle Vs Liverpool (A) - Sabtu, 4/5 (10 pm)

Rafael Benifez  sekali lagi akan memainkan peranan penting dalam perebutan kejuaraan liga, tetapi bukan sebagai pengurus kelab yang terbabit sebaliknya sebagai 'outsider' yang ingin mengganggu rentak mereka. Beliau masih lagi mempunyai hubungan yang utuh dengan peminat-peminat Liverpool selepas beliau membawa Liverpool menjulang Liga Juara-Juara Eropah pada tahun 2005. Meskipun pemergiannya bukan dengan cara baik, tetapi ramai peminat yang masih menyanjungnya sebagai pengurus terakhir menjulang trofi utama.

Para peminat mungkin mengharapkan pertolongan dari beliau dalam perebutan Liga Perdana Inggeris kali ini tetapi Newcastle juga ingin akhiri liga dengan kedudukan yang tinggi. Ini mungkin menjadi satu perlawanan yang sukar Liverpool dengan bekas pengurusnya.


Liverpool Vs Wolverhampton (H) - Ahad, 12/5 (10 pm)

Perlawanan terakhir Liverpool dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini akan berlangsung di Anfield, halaman sendiri yang kebal. Kubu kuat Liverpool itu telah menyaksikan berlangsungnya 16 perlawanan liga musim ini dan rekod menunjukkan mereka menang 14 perlawanan dan hanya seri 2 perlawanan serta masih belum kalah di tempat sendiri musim ini. Hanya Man City dan Leicester yang mampu membawa pulang mata dari Anfield sedangkan yang lain pulang kecewa. 

Liverpool juga telah meledak 46 gol di laman sendiri musim ini dan bolos hanya 10 gol. Mereka memungut 44 mata dari keseluruhan 48 mata yang dipertandingkan. Rekod ini amat gah namun Wolves bukanlah calang-calang pasukan. Dengan gaya permainan yang menarik, berani dan lebih terbuka, Wolves dilihat sebagai pasukan terakhir yang mampu memberikan masalah besar buat Liverpool. Musim ini, mereka telahpun menyingkirkan Liverpool dari Piala FA dan baru-baru ini mengejutkan Manchester United apabila bangkit membenam skuad dari Manchester itu. Namun, dengan kejuaraan liga dipertaruhkan, Liverpool tidak boleh keguguran mata menentang anak buah bimbingan Nuno Santo itu.


Jurgen Klopp Vs Pep Guardiola


Klopp atau Guardiola? Liverpool atau City: Siapa bakal bergelar juara Liga Perdana Inggeris pada musim 2018/19? Adakah City mampu mempertahankan kejuaraan liga buat kali pertama dalam masa 10 tahun atau Liverpool bakal menamatkan kemarau kejuaraan liga selama 29 tahun?